Assalamualaikum Mama Papa,
Tidak pernah anakmu ini mencoret sesuatu buat kalian berdua. Itu sudah pasti kerana anakmu ini sukar untuk meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya. Jauh disudut hati anakmu ini untuk bercerita segala isi duniawi yang telah anakmu ini lalui. Ini cerita tentang kehidupan, kebahagiaan, sukaduka dan pengalaman yang ditempuhi anakmu ini. Setelah anakmu ini tamat pengajian di universiti, lalu anakmu ini melangkah ke alam yang baru iaitu alam pekerjaan. Di alam ini pelbagai pengalaman yang telah dikutip dan juga pelbagai kerenah dan spesies manusia ditemui. Pasti kalian tahu bahawa anakmu ini sering sahaja bertukar pekerjaan. Ini disebabkan oleh ketidakserasian terhadap bidang itu. Yang paling lama di Apiit College sebagai administrator, bertanggungjawab terhadap perihal akademik student disitu. Anakmu ini amat meminati kehidupan di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Kerana disitulah ada bermacam barangan dan kemudahan yang canggih yang tiada disini. Anakmu ini kadangkala terleka dek kesibukan kota raya itu. Namun, ini semua tidak menggoyahkan iman anakmu ini. Anakmu ini selalu beringat pada pesan kalian berdua iaitu 'jaga diri baik2 ditempat orang'. Kalian berdua juga meletakkan penuh kepercayaan kepada anakmu seorang ini. Mungkin pengalaman abang dan kakakku yang juga berada di kota raya besar ini, maka kalian tidak kekok untuk melepaskan aku mencari sumber pendapatan sendiri di sana. Kalian sebenarnya beruntung kerana memiliki seorang anak yang kenal dan tahu akan asal usulnya walaupun dicampak ke lautan mewah sekalipun. Anakmu ini tidak mengejar kemewahan yang ada di bandar besar itu, akan tetapi hanya memerlukan sedikit kepuasan yang abadi dan punyai rakan tersendiri. Kini, anakmu ini telah pulang ke dakapan kalian bagi meneruskan pencarian rezekinya. Kali ini lain pula kisahnya. Anakmu ini berasa amat dukacita setiba tahunya tercampak disini. Sungguh asing bagi dirinya walaupun disinilah asalnya. Dimanakah mall yang besar, dimanakah western food dan roti yang enak, dimanakah kemudahan yang canggih dulu? Anakmu ini terkedu dan buntu buat seketika. Kemudian, anakmu ini berhadapan dengan perjalanan menuju ke tempat kerja baru. Mahu tak mahu, anakmu ini mengambil keputusan untuk mendapatkan kenderaan. Setelah mempunyai kereta sendiri, anakmu ini mengalami kekangan kewangan sehingga ke hari ini. Ingin sahaja anakmu ini membalas segala jasa dan perit jerih yang telah kalian taburkan kepadanya. Namun, disebabkan oleh kekangan ini, anakmu ini terpaksa berkira2 tentang segala apa yang diperolehinya. Ibarat kais pagi dan petang, hanya cukup2 sahaja. Setelah anakmu ini menamatkan zaman solonya, kekangan ini masih ada. Anakmu ini tidak melupakan kata2 yang telah diucapkan oleh Papa 'kalau sanggup bersusah payah, kahwinlah'. Kata2 itu masih terngiang2 di telinga dan dibenakku. Anakmu ini tidak membuat keputusan secara membabi buta namun inilah yang dikatakan jodoh. Siapalah kita untuk mengetahui apa yang bakal berlaku di kemudian hari. Lagian, anakmu ini bukanlah semakin hari semakin muda umurnya. Anakmu ini mengerti bahawasanya kalian yakni Mama amatlah berbesar hati dan bahagia sekiranya anaknya dapat mendatangkan hasil lalu diberikan buahnya. Anakmu ini faham benar akan perangai si Mama. Dahulu anakmu ini berkemampuan untuk memberikan hasil pengorbanan kalian berdua. Akan tetapi, kini anakmu tidak beroleh hasil yang boleh diberikan kepada kalian. Anakmu ini berasa amat sedih dan kecewa dengan apa yang terjadi sekarang ini. Tatkala anakmu ini berdoa agar dilimpahkan rezeki yang mencurah2 sepertimana yang diperolehi oleh abang dan kakakku, ingin sahaja sebahagiannya itu diberikan kepada kalian untuk menikmatinya. Tunggu sahaja peristiwa itu berlaku kepada anakmu ini. Anakmu ini mengharapkan sejuta doa dan restu kalian bagi memberkati penghidupannya kini. Moga anakmu ini peroleh rezeki dan kebahagiaan bagi meneruskan episod dunia yang akan tiba.
Ikhlas buat kalian ;
-Mira-
No comments:
Post a Comment